News Update :
Home » » Debat AUKU Antara 2 Aktivis Mahasiswa Berjaya Dijalankan

Debat AUKU Antara 2 Aktivis Mahasiswa Berjaya Dijalankan

Penulis : KomCa News on Friday 9 December 2011 | 09:26

Universiti Malaya, 9 Dis : Debat AUKU antara aktivis Pro-Mahasiswa dan Pro-Aspirasi sebentar tadi diberitakan berjalan lancar pada awalnya sebelum beberapa pengawal keselamatan UM dan ‘Special Branch’ di Bahagian Hal Ehwal Pelajar UM menyerbu masuk ke dewan tempat berlangsungnya debat.

Debat berkenaan yang dianjur bersama kumpulan BEBAS dan AKSI (Aksi Mahasiswa Peduli) terpaksa berpindah tempat setelah tempat asal di Fakulti Undang-undang UM tidak diluluskan saat akhir.

Sumber menyatakan tempat perdebatan itu terpaksa dianjur di satu ruang kecil berhampiran perpustakaan Fakulti Undang-undang UM yang hanya boleh menampung 50 orang satu masa.

Diberitakan hampir 300 mahasiswa/i daripada kampus UM dan sekitar Lembah Klang telah hadir memenuhi setiap ruang tempat sehingga melimpah ke luar dewan.

DIGANGGU KETIKA 'PANAS' BERDEBAT

Menurut maklumat yang diperoleh, perdebatan antara Ahmad Syukri Che Ab. Razab (mantan aktivis Pro-M) dan Syamsul Salleh (mantan YDP MPP UPM) telah diganggu ketika mereka sedang rancak menyampaikan hujah pada pusingan kedua perdebatan.

Beberapa pengawal keselamatan dan ‘Special Branch’ telah menjerit meminta penganjur keluar dewan dan perdebatan dihentikan segera.

Ketika itu juga, lampu dewan telah ditutup beberapa kali namun pihak penganjur tetap meneruskan perdebatan sehingga memaksa YDP MPMUM, Mohd Syahid keluar untuk berunding.

Setelah rundingan dilakukan beberapa minit, akhirnya pengawal keselamatan memberitahu arahan tersebut datang daripada Timbalan Naib Canselor HEP UM, Datuk Rohana Yusof.

Syahid kemudian diminta menghubungi Datuk Rohana untuk meminta izin meneruskan perdebatan.

Selang beberapa minit, Syahid kelihatan senyum gembira bererti persetujuan telah dicapai namun diminta dihabiskan sebelum jam 10.30 malam.

Akan tetapi, tidak berapa lama kemudian ketika sesi penggulungan, beberapa ‘Special Branch’ dan pengawal keselamatan secara tiba-tiba menyerbu masuk ke dalam dewan.

Mereka diberitakan terus ke arah peserta debat dan moderator (Shahimi Ariffin) lalu meminta perdebatan dihentikan segera. Ketika itu, mereka cuba merampas mikrofon yang sedang digunakan namun dihalang beberapa mahasiswa yang kecewa dengan provokasi berkenaan.

Sesi penggulungan tetap diteruskan dan kelihatan beberapa mahasiswa masih berbincang sehinggalah perdebatan berakhir kira-kira pukul 10.15 malam.

PRO-MAHASISWA MAHU MANSUH 'TOTAL'

Ahmad Syukri Razab

Sementara itu, sumber dari sebuah portal media lain menyatakan sesi perdebatan tersebut tetap mencapai matlamat yang diinginkan iaitu membahaskan tentang Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta autonomi kampus.

Ahmad Syukri dalam hujahnya membuat kesimpulan Pro-Mahasiswa tetap berpegang pada prinsip mahu memansuhkan AUKU secara ‘total’ (menyeluruh) dan autonomi kebebasan di universiti dikembalikan.

Beliau juga membuat satu tuntutan iaitu ingin melihat minggu haluansiswa di setiap IPT akan dikembalikan pengisiannya seperti MHS zaman sebelum terciptanya AUKU iaitu melibatkan politik mahasiswa dan kebebasan autonomi universiti.

PRO-ASPIRASI KAGUMI DR. MAHATHIR

Mohamad Syamsul Salleh

Manakala di pihak wakil aspirasi, Syamsul Salleh diberitakan kelihatan agak tenang dan matang dalam berhujah mengenai isu yang sedang diperbincangkan.

Menurut sumber, Syamsul sering kali menyatakan beliau kagum dengan kebijaksaaan Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr. Mahathir namun bertegas bersetuju dengan pindaan yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak.

Syamsul dikatakan tidak bersetuju dengan pemansuhan secara ‘total’ AUKU seperti disebutkan Syukri Razab kerana teramat bimbang tentang keadaan politik yang dianggapnya ‘kotor’ ketika ini menular kepada mahasiswa.

“Pembangkang dengan politik fitnahnya, kerajaan dengan politik rasuah, dua-dua salah. Jadi, saya risau andai AUKU dimansuhkan secara menyeluruh, situasi berkenaan (kotor) akan menular kepada mahasiswa.”, demikian antara hujahnya.

Sumber:
Share this article :

Post a Comment

 
Company Info | Contact Us | Privacy policy | Term of use | Widget | Advertise with Us | Site map
Copyright © 2011. mahaSISWAutara . All Rights Reserved.
Design Template by panjz-online | Support by creating website | Powered by Blogger