Info: Kes Mangsa Keldai Dadah Antarabangsa.
16 Mac 2010
Dua wanita, G.Rasundri, 50 Tahun dan Darina Ibrahim, 43 Tahun yang bekerja sebagai tukang jahit di Kuala Lumpur ditahan di penjara Itali kerana membawa dadah jenis candu ke negara itu.
29 April 2010
Pelajar berketurunan Iban, Cristina anak Luke Miju, 22 Tahun ditangkap disebuah lapangan terbang di China selepas pihak berkuasa negara itu menemui sejumlah dadah di dalam beg tangannya.
16 Ogos 2010
Nur Dhiya Ain, 19 Tahun yang mengikut kenalannya seorang warga Afrika kerana mendapat tawaran pekerjaan ditahan polis Afrika Selatan di Lapangan Terbang Cape Town kerana membawa 1.2 kg dadah jenis syabu.
1 September 2010
7 gadis Malaysia nyaris ditahan pihak berkuasa si Karachi, Pakistan kerana disyaki menyeludup dadah ke negara itu selepas terpedaya dengan janji manis warga Afrika di Kuala Lumpur.
Kes penyeludupan dadah melibatkan wanita telah menjadi satu masalah rentas sempadan yang mendapat perhatian antarabangsa. Hal ini kerana, sebahagian besar mangsa mudah terpedaya dengan janji dan tawaran wang yang lumayan dengan bekerja di luar negara oleh agen yang tidak dikenali tanpa mengetahui mereka telah menjadi ‘keldai dadah’.
Sifat mudah percaya dan kelabu mata dengan kemewahan dan cinta yang ditawarkan oleh lelaki asing menjadikan wanita pendek akal dan mengambil keputusan terburu-buru hingga memakan diri sendiri. Selain itu, kehidupan yang mendesak seperti ketiadaan pekerjaan menjadikan mereka memilih pekerjaan ini sebagai langkah keluar dari masalah hidup.
Menurul laporan, pada awal Oktober lalu, dua wanita Malaysia ditahan atas kesalahan membawa dadah di Hulu Bernam, Selangor manakala dua lagi wanita ditahan di Pulau Pinang juga atas kesalahan yang sama.
Berdasarkan statistik yang dibentangkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim telah menunjukkan penahanan terhadap pendatang dari benua Afrika meningkat kepada 173 orang berbanding hanya 65 orang pada tahun lepas. Daripada jumlah itu, 139 adalah rakyat Nigeria dan ini menunjukkan peningkatan berbanding hanya 50 orang rakyat Nigeria yang ditahan pada tahun lepas kerana kesalahan dadah.
Beg Pakaian Yang Diubahsuai Untuk Menyimpan Dadah
Wanita-wanita yang terdesak terutamanya golongan belia merupakan mangsa yang dicari-cari oleh sindiket dadah dengan tawaran pekerjaan dan gaji yang lumayan. Oleh itu, golongan wanita terutamanya mahasiswi seharusnya berhati-hati dan curiga apabila bertemu dengan individu atau agen yang tidak dikenali yang menawarkan pekerjaan yang lumayan sebelum menyelidiki perkara tersebut dengan teliti. Tambahan pula teknologi komunikasi sekarang seperti Facebook merupakan medium perhubungan yang paling berisiko yang digunakan oleh sindiket dadah untuk memperdaya golongan wanita. Ibarat kata pepatah, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada guna.
Oleh:
Nor Aifa Binti Jamaluddin
Ahli Majlis Perwakilan Pelajar USM
Pro-Mahasiswa USM
Post a Comment