Kementerian Pengajian Tinggi akan menganjurkan mesyuarat meja bulat mengenai pindaan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974, pada 17 Disember ini di Hotel Sunway Putra Kuala Lumpur.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata mesyuarat meja bulat itu akan menjadi platform kepada para peserta untuk memberi pandangan, cadangan dan maklumbalas mengenai isu akta tersebut.
“Hasil maklumbalas dan cadangan dari wakil persatuan pelajar dan pihak-pihak lain dalam mesyuarat itu akan diambil perhatian dan dikemukakan kepada anggota jawatankuasa yang akan meminda AUKU,” katanya dalam satu kenyataan.
Saifuddin berkata beliau akan mempengerusikan sesi mesyuarat meja bulat tersebut.
MENTERI AKAN UMUM PENGERUSI, AJK PINDAAN AUKU
Ditanya siapakah akan menjadi pengerusi dan para anggota jawatankuasa yang akan meminda AUKU yang akan ditubuhkan kelak, Saifuddin berkata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan mengumumkan perkara tersebut pada masa terdekat.
“Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminda Seksyen 15 Akta AUKU 1974 bagi membolehkan pelajar yang mencapai umur 21 tahun menyertai parti politik pada 24 November lepas di Dewan Rakyat, telah disambut baik oleh pelbagai pihak.
“Sekarang adalah waktu terbaik untuk membincangkan mengenai akta berkenaan, kerana pindaan terhadap akta tersebut hanya akan siap pada sesi mesyuarat pertama Dewan Rakyat pada bulan Mac tahun depan (2012),” kata Saifuddin.
AKTA IPTS, KUALITI UNIVERSITI TURUT DIPERBINCANGKAN
Selain itu, mesyuarat itu juga akan turut membincangkan mengenai bagaimana untuk menambahbaik kualiti universiti, Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta, Akta Institusi dan beberapa perkara lain membabitkan institusi pengajian tinggi, katanya.
Mengenai kelayakan umur yang sesuai untuk menyertai parti politik, Saifuddin yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berpendapat 18 tahun adalah umur yang sesuai dengan mengambil contoh Umno yang membenarkan mereka yang berumur 18 tahun untuk menjadi anggota parti tersebut.
Mesyuarat meja bulat itu akan dihadiri wakil-wakil pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, Majlis Profesor Negara, badan-badan bukan kerajaan (NGO), wakil dari parti politik dan Majlis Peguam.
Maklumat lanjut mengenai mesyuarat meja bulat itu boleh diperolehi dengan menghubungi Mohd Nazri Noh di talian 019-2660672 atau Fadzmel Fadzil (013-3402203).
Post a Comment