News Update :
Home » » Konspirasi Oh Konspirasi (Realiti vs Kosmetik)

Konspirasi Oh Konspirasi (Realiti vs Kosmetik)

Penulis : KomCa News on Sunday 11 December 2011 | 03:05

Tulisan Oleh: Kumanan Kandasamy, YDP Kelab Sains Politik USM

 “Kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang” 

Begitulah isu pemilihan tenaga penggerak Pimpin Siswa sesi 2011/12 yang berlangsung dengan jayanya. Pendedahan yang dilakukan oleh pemberita Berita Kampus edisi ketiga, telah membuka mata ramai pelajar mengenai nasib yang menimpa pemohon-pemohon yang membuat permohonan untuk mengikuti program-program berprestij, khususnya sebagai tenaga penggerak. Malah saya rasakan hampir disetiap kawasan tumpuan siswa/i di USM, kedengaran komen mengenai tajuk utama Berita Kampus edisi yang lepas. Tahniah dan syabas kepada Berita Kampus. Pelbagai alasan dan kriteria `ad-hoc` yang diketengahkan oleh pengendali program, seringkali menimbulkan masalah di USM. Perkara ini telah dibuktikan melalui konspirasi yang wujud dalam pemilihan tenaga penggerak pimpin siswa tempoh hari. Penjelasan yang ringkas dan padat, telah membantu kami untuk memahami situasi sebenar yang melanda kampus USM. Terima kasih diucapkan kepada pihak yang menjawab persoalan daripada Berita Kampus. 

Namun, dalam penjelasan beliau (pegawai PPKSP), menyatakan ‘…pemilihan berdasarkan mereka yang boleh membantu universiti sealiran dengan universiti dan boleh membawa visi dan misi universiti.’ Kami yang tidak terpilih cukup terkilan dengan jawapan yang kurang bertanggungjawab daripada pihak yang berkenaan. Persoalannya sekarang, adakah mereka yang tidak terpilih, atau yang terkena tempias fahaman politik dalaman yang sempit, boleh ditakrifkan sebagai tidak sealiran dengan universiti? Adakah kami yang tidak terpilih, merupakan golongan yang tidak mampu membawa misi dan visi universiti? Jadi apakah peranan kami selaku pemimpin mahasiswa, yang telah menyertai aktiviti, memberikan sumbangan dan membawa nama universiti di persada antarabangsa? Adakah hanya sekadar menjadi `yes boss` dan memegang kain rentang sewaktu rapat umum, memadai untuk membawa visi dan misi universiti? Apakah kayu ukur yang digunakan dalam menilai kriteria yang agak pelik sebegini. Pendekatan melalui jawapan ini, cukup mendukacitakan dan pihak berwajib harus mengambil tindakan atas kenyataan berkenaan dengan kadar segera. Bukan ingin mempromosikan perkara yang telah kami lakukan, tetapi cuma sekadar menjelaskan bahawa kami tidak mampu sealiran, sekiranya aliran anda tidak menunjukkan jalan yang benar. 

Kami mengutarakan pelbagai bukti yang menunjukkan salah laku dalam pemilihan. Namun, jawapan yang diberikan kepada Berita Kampus, “mungkin berlaku kesilapan ketika pemilihan fasilitator dilakukan…”. Timbul persoalan, adakah kesilapan itu, disengajakan dan disedari oleh pegawai tapisan? Sekiranya tidak, cuba buktikan. Masakan pelajar yang `extend` pun boleh jadi fasilitator, inikan pula kami yang masih berstatus aktif. 

Malah, wujud satu ungkapan popular kebelakangan ini. Iaitu, ‘orang yang terlalu layak, tidak akan dipilih dalam program’, namun ia hanya sekadar ungkapan sahaja yang tidak mampu menyembunyikan salah laku yang berlaku. Sekiranya betul, sealiran dengan universiti, kenapa harus memberikan janji kosong kepada mahasiswa, khususnya yang masih baru, untuk `dare to be different`? Sekiranya berbeza, kemungkinan besar mereka akan dilabelkan sebagai tidak sealiran oleh pakar-pakar dalam bidang aliran ini. Jadi dimanakah titik keseimbangan? Terlalu banyak persoalan boleh ditimbulkan, sekiranya benda ini tidak mahu diselesaikan dengan menyatakan perkara yang sebenar. Memang 800 yang memohon dan 250 sahaja diperlukan. Siapakah 250 orang itu? Tepuk dada tanya selera. 

Semakin ingin menutupi suatu kesilapan, pelbagai perkara akan timbul sebagai susulan. Jangan salahkan kami sekiranya kami bertindak diluar kotak pemikiran anda, sebab `kotak` kami agak berbeza daripada anda. Sudahilah konspirasi ini dengan bijak. Jangan jadikan bangunan baharu tersebut dan penjenamaan terbaru PPKSP, masih dilitupi dengan kanvas yang usang. Pemikiran yang sempit, dan `pre-judgement` yang tidak berasas, tidak akan membawa nama univeristi kemana-mana. 

Harap Maklum.

Sumber: 
Share this article :

Post a Comment

 
Company Info | Contact Us | Privacy policy | Term of use | Widget | Advertise with Us | Site map
Copyright © 2011. mahaSISWAutara . All Rights Reserved.
Design Template by panjz-online | Support by creating website | Powered by Blogger