News Update :
Home » » Pindaan AUKU Perlu Progresif

Pindaan AUKU Perlu Progresif

Penulis : KomCa News on Monday 12 December 2011 | 07:15

 Oleh: Dato' Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi

Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Dewan Rakyat, pada 24 November 2011, untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bagi membenarkan mahasiswa menjadi ahli parti politik adalah mercu tanda amat penting dalam transformasi politik negara, iaitu dari segi mengiktiraf suara dan peranan mahasiswa. 

Dari segi kerajaan, ia satu perubahan paradigma yang radikal, iaitu daripada sikap dingin terhadap partisipasi politik mahasiswa kepada pengiktirafan bahawa mahasiswa mempunyai hak partisipasi politik. Ia bukti bahawa kerajaan mendengar dan cuba sedaya upaya memenuhi permintaan mahasiswa. 

Ia juga memberi definisi terhadap partisipasi politik mahasiswa yang sebelum ini ditafsirkan pelbagai cara. Kini, definisinya adalah jelas, iaitu mahasiswa dibenarkan menjadi ahli parti politik. Sebagai ahli, mahasiswa mempunyai hak-hak yang ditentukan partinya. 

Dari segi mahasiswa, ia sebahagian daripada keberhasilan perjuangan yang panjang dalam menuntut partisipasi penuh dalam struktur dan proses membuat keputusan dalam pelbagai bidang dan di pelbagai peringkat. Ia hasil kerjasama dengan pelbagai pihak yang sealiran, seperti gerakan belia, wanita, akademia, profesional, masyarakat sivil dan parti politik. 

Pindaan ini perlu dibuat secara progresif dan komprehensif, dan bukannya secara regresif dan restriktif. 

Ia perlu selaras dengan hala tuju transformasi politik ke arah demokrasi yang matang. Ia perlu selari dengan perjuangan meningkatkan mutu universiti dengan erti kata yang sebenar, yang meliputi pengukuhan roh universiti, budaya ilmu, kebebasan akademik, melahirkan insan baik dan bukannya sekadar pekerja baik, serta idealisme perjuangan dan penghakupayaan mahasiswa. 

Matlamat pindaan Auku ini ialah, pertama, menegakkan hak mahasiswa berpolitik yang dijamin oleh Perlembagaan, dan kedua, meningkatkan partisipasi mahasiswa dalam membuat keputusan. 

Menurut Najib, mahasiswa terlibat ialah yang mencapai umur baligh undang-undang age of majority. Menurut Age of Majority Act 1971, umurnya ialah 18 tahun, iaitu seperti dijelaskannya dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Umno pada 1 Disember 2011. 

Beliau turut menyatakan, politik kepartian dilarang memasuki kampus. Ini akan dijelaskan agar tidak disalah tafsir. Perlu diwujudkan iklim yang lebih banyak membenarkan daripada melarang. Contohnya, perbincangan, diskusi dan forum politik yang melibatkan ahli panel pelbagai parti adalah dibenarkan. 

Supaya konsisten, maka, di samping Auku, beberapa akta yang berkaitan perlu dipinda bersama, iaitu, Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996, Akta Universiti Teknologi Mara 1976 dan Akta Institusi Pendidikan (Disiplin) 1976. 

Peluang meminda ini perlu juga digunakan untuk membincangkan peningkatan penghakupayaan mahasiswa. Contohnya, ialah membenarkan mahasiswa melaksanakan sendiri pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan mempermudah atau mengurangkan karenah birokrasi dalam meluluskan program-program anjuran mahasiswa. 

Kerja-kerja menyediakan pindaan ini akan dilakukan oleh sebuah panel dianggotai, antara lain, mereka yang terlibat dalam pindaan Auku pada tahun 2009, seperti Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi. Perundingan dan perbincangan yang luas serta terbuka akan diadakan dan digalakkan dengan/antara pelbagai pihak berkepentingan, seperti badan-badan mahasiswa, akademia, belia, profesional, masyarakat sivil dan parti politik. 

Contohnya, saya menganjurkan dan mempengerusikan Meja Bulat Pindaan Auku di Kuala Lumpur pada 17 Disember 2011. Dan pindaan ini dijangka disiapkan untuk dibentangkan di mesyuarat pertama Parlimen tahun 2012.
Share this article :

Post a Comment

 
Company Info | Contact Us | Privacy policy | Term of use | Widget | Advertise with Us | Site map
Copyright © 2011. mahaSISWAutara . All Rights Reserved.
Design Template by panjz-online | Support by creating website | Powered by Blogger