News Update :
Home » » Profesor Adnan Hussein TNC HEPPUSM Baru

Profesor Adnan Hussein TNC HEPPUSM Baru

Penulis : KomCa News on Monday 12 December 2011 | 06:54

Pulau Pinang, 12 Disember, Dekan Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Adnan Hussein hari ini dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar) USM selama tiga tahun bermula 1 Disember 2011 sehingga 30 November 2014. 

Jawatan Timbalan Naib Canselor (HEPP) USM kosong sejak 28 September lalu apabila Profesor Dato’ Omar Osman dilantik sebagai Naib Canselor USM. 

Adnan yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya ke-53 pada 15 Disember ini berasal dari Kota Bharu mendapat ijazah pertama dalam bidang Antropologi dan Sosiologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1986 sebelum melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana dengan memperolehi M.Sc. (Journalism & Mass Communication), Iowa State University (1989) dan ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) (Communication) dari University of Utah (1994). 

Ditanya tentang perasaannya setelah menerima watikah pelantikannya dari Dato’ Seri Mohd. Khaled Noordin, Menteri Pengajian Tinggi di Putrajaya hari ini, Adnan berkata, beliau menerima tanggungjawab dengan penuh kesedaran terhadap amanah besar yang dipikulnya. 

“Terdapat banyak cabaran yang ada sekarang ini dalam persekitaran universiti yang banyak berubah dan berbeza sekarang ini yang memerlukan kita melihat semula peranan universiti dan siswa-siswi seluruhnya bagi memastikan keberkesanan usaha yang dilakukan,” kata Adnan. 

Tambahnya lagi, universiti perlu melibatkan seramai mungkin siswa-siswi agar dapat mengoptimumkan hasil dalam usaha yang dilakukan oleh universiti selain daripada pembangunan akademik yang sememangnya telah sedia diambil perhatian utama selama ini. 

“Saya ingin berusaha untuk memastikan siswa-siswi kita dapat kemahiran insaniah (soft-skill) yang diperlukan untuk membolehkan mereka berjaya pada masa depan,” kata Adnan. 

Adnan pernah menjadi guru pada tahun 1980-1982 sebelum menjadi pensyarah di USM pada tahun 1994 dan dilantik sebagai profesor madya pada tahun 2002 sebelum kemudiannya dilantik sebagai profesor mulai Julai 2011. Adnan dilantik sebagai Dekan Pusat Pengajian Komunikasi pada Mac 2007. 

Adnan adalah seorang pemimpin mahasiswa yang aktif di zaman pengajiannya. Beliau adalah Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (UMUM) UKM, 1984-1985, Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (FSKK) UKM, 1983-1984, Presiden Persatuan Mahasiswa Komunikasi (PERKOM) UKM, 1983-1984, Pengerusi Kelab Bolasepak UKM, 1983-1984, Kapten Pasukan Bolasepak UKM, 1983-1984, Mewakili Pasukan Bolasepak UKM, 1982-1986, Pengerusi Kumpulan Grup Teater UKM, 1984-85, President, Malaysian Student Association, University of Utah, 1991-1992 dan Secretary, Islamic Student Organisation, University of Utah, 1990-1991.

Share this article :

Post a Comment

 
Company Info | Contact Us | Privacy policy | Term of use | Widget | Advertise with Us | Site map
Copyright © 2011. mahaSISWAutara . All Rights Reserved.
Design Template by panjz-online | Support by creating website | Powered by Blogger