News Update :
Home » , » MPPUSM: Jawatan Dimenangi, Manifesto Dilupai

MPPUSM: Jawatan Dimenangi, Manifesto Dilupai

Penulis : KomCa News on Tuesday 13 December 2011 | 22:22


“Kami kesal dengan sikap MPP sekarang. Dah dapat kuasa, mereka bagaikan lupa dengan janji-janji manis yang ditaburkan.” Itulah antara keluhan yang sampai ke telinga kami rentetan pendedahan ekslusif Berita Kampus (BK) edisi terbaharu baru-baru ini. Kali ini, kami setuju dengan laporan tersebut. Ada benarnya apa yang didedahkan oleh wartawan BK. 

Janji-janji manis, atau dalam istilah yang lebih kontemporari, manifesto, merupakan perkara biasa apabila menjelang sesuatu pilihan raya. Begitu juga dengan pilihan raya kampus di USM. Setiap calon yang bertanding akan menggula-gulakan pengundi dengan pelbagai manifesto yang kadang-kala sangat idealistik, menawan dan mempersonakan. 

Justeru tidak hairanlah jika seseorang calon dapat menang besar dalam sesuatu pilihan raya. Selain personaliti dan jaringan kawan-kawan, faktor ideologi dan manifesto juga sangat memberi kesan terhadap pola pengundian. Ke mana undi pergi, selalunya bergantung pada empat elemen ini. 

Manakala manifesto yang berjaya mengaburi pertimbangan pengundi pula akan membantu menarik sokongan daripada golongan neutral atau atas pagar. 

Manifesto sememangnya amat penting dalam kempen seseorang calon. Ada manifesto yang diperjuangkan bersama dan ada manifesto bersifat peribadi atau daripada calon itu sendiri. Bagi manifesto yang diperjuangkan bersama, ia biasanya melibatkan sekumpulan calon yang bergerak atas platform atau ideologi yang sealiran. Manifesto yang bersifat individual pula diperjuangkan oleh calon mengikut keperluan ‘kawasannya’ atau yang difikirkan penting untuk para pengundinya. 

Dalam lanskap politik di USM, manifesto yang bersifat universal dan diperjuangkan secara berkumpulan biasanya melibatkan dua entiti ideologi utama iaitu Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa. Walaupun dasar politik kita menolak sistem kepartian, tetapi tidak dapat disorok lagi bahawa pergerakan partisan dalam kalangan pemain politik kampus di sini memang terpecah kepada dua kumpulan ini, sama seperti di kebanyakan universiti lain. 

Kedua-dua kumpulan biasanya mempunyai manifesto umum masing-masing. Sebagai contoh, dalam beberapa siri pilihan raya kampus sebelum ini, kumpulan Pro-Mahasiswa berpegang kepada sekurang-kurangnya lima manifesto umum yang sama, antaranya memansuhkan AUKU dan memansuhkan sistem pengundian dalam talian. Manifesto ini juga senada dengan kumpulan-kumpulan Pro-Mahasiswa di universiti-universiti lain. 

Adakah manifesto berjaya melonjakkan sokongan terhadap seseorang calon? Secara mudah, ia sebenarnya bergantung pada bentuk kandungan manifesto yang ditawarkan itu sendiri. Tidak semua calon berupaya menawarkan manifesto yang menarik dan segar. Malah ada calon yang menggunakan manifesto kitar semula sehingga gagal menarik sokongan pengundi biasa.

Tetapi jika calon berjaya membawa sesuatu yang baharu dan mampu meyakinkan pengundi dengan manifestonya itu, ia umpama magnet berkuasa tinggi yang akan menarik sokongan para pengundi biasa. Siapa pengundi biasa yang kami maksudkan? Golongan ini ialah para pelajar yang tidak terlibat dengan sebarang gerakan politik dan sifar pengetahuan politik kampusnya, atau lebih tepat golongan neutral dan atas pagar. 

Walaupun golongan ini tidak aktif dengan politik kampus, tetapi jumlah mereka sebenarnya amat besar. Undi yang dimiliki oleh golongan ini amat signifikan. Malah, sebahagian besar calon amat bergantung pada golongan ini untuk memenangi konstituensi yang ditandingi. 

Oleh hal yang demikian, calon-calon tidak mempunyai pilihan lain selain menawarkan manifesto yang terbaik walaupun ia bersifat terlalu ideal dan di luar kemampuan calon itu sendiri. Jika ini berlaku, apa pula natijahnya? 

Mudah. Kesannya, seperti yang dapat kita ikuti dalam laporan Berita Kampus tempoh hari. Manifesto tinggal manifesto. Janji tinggal janji. Gula-gula hanya lekat di bibir saja, manis tetapi tidak mampu melepasi kerongkong nikmat. Inilah yang seharusnya menjadi kerisauan bagi setiap calon yang berjaya memenangi sesuatu kerusi yang ditandingi. 

Contoh paling popular mungkin kita dapat lihat melalui satu dua manifesto yang ditawarkan pada pilihan raya kampus yang lalu. Pertama, janji yang dibuat berkenaan perkhidmatan bas komuter. Calon berkenaan bukan sahaja menawarkan janji untuk membaiki mutu perkhidmatan bas, malah beliau turut mempertikaikan peranan MPP sebelumnya yang dikatakan tidak efisien dalam menangangi isu berkenaan.

Manifesto ini berjaya mencuri simpati para pengundi kerana ia berkait rapat dengan keperluan para pelajar. Tetapi calon terbabit terlalu ghairah hingga beliau lupa, prosuder yang diperlukan amat rumit dan melibatkan pelbagai disiplin lain. Akhirnya, bas baharu entah ke mana, caj perkhidmatan tetap sama! 

Satu lagi manifesto yang agak luar biasa ialah janji daripada seorang calon bahawa jika beliau menang, setiap pelajar USM akan menerima insentif APEX berjumlah RM1500! Wah, siapa yang tidak mahu? Tetapi mujurlah para pengundi USM realistik dan dapat mencerna janji beliau dengan baik. Akhirnya calon ini digagalkan oleh daya intelektual mahasiswa USM yang menolak janji-janji manis tersebut. 

Kesimpulannya, tak kiralah manifesto itu bersifat umum atau individual, setiap calon haruslah mengukur diri masing-masing terlebih dahulu. Calon perlu mengkaji sedalam-dalamnya sesuatu manifesto sebelum diterbitkan dan diuar-uarkan dalam kempen mereka agar ia tidak kelihatan seperti menipu para pelajar. Ini penting supaya kredibiliti MPP itu sendiri pada akhirnya tidak dipertikaikan sebaliknya terus diyakini keberkesanannya dalam memperjuangkan hak dan kebajikan para pelajar USM secara keseluruhan.
Share this article :

Post a Comment

 
Company Info | Contact Us | Privacy policy | Term of use | Widget | Advertise with Us | Site map
Copyright © 2011. mahaSISWAutara . All Rights Reserved.
Design Template by panjz-online | Support by creating website | Powered by Blogger