News Update :
Home » » Smart Politics: Politik Baru Anak Muda

Smart Politics: Politik Baru Anak Muda

Penulis : KomCa News on Wednesday 8 February 2012 | 22:54

Hari ini Mitt Romney, bekas Gabenor Massachusetts dari Parti Republikan merupakan calon yang paling popular untuk bertanding kerusi presiden Amerika Syarikat yang sedang disandang Barrack Obama. Kempen manifestonya memperoleh kutipan dana sokongan paling tinggi oleh rakyat Amerika Syarikat. Kehebatan gabungan karisma individu, kempen manifesto berkesan dan mainan 'smart politics' yang ditampilkan oleh Romney ternyata membuahkan hasil. 

Menurut Jim Tankersley, koresponden ekonomi untuk Majalah The National Journal yang menulis, 'Smart Politics vs. Sound Economics: The Battle for Mitt Romney's Soul' menyatakan bahawa 'smart politics' yang dimainkan oleh Romney adalah apabila beliau mempamerkan personaliti sebagai seorang yang selalu duduk semeja dengan golongan yang mempunyai idea dan boleh mentransformasikan idea-idea itu kepada perubahan sebenar untuk masa depan Amerika Syarikat. 

Romsey juga telah menggariskan 59 teras pelan ekonomi tetapi pada masa yang sama bercanggah dengan polisi kewangan dan perumahan yang dicadangkan oleh dua penasihat ekonomi beliau sendiri iaitu Glenn Hubbard, Dekan Fakulti dari Columbia University dan N. Gregory Mankiw, professor dari Harvard University. Namun setelah mengambil kira segala prinsip dan teori ekonomi semua cendekiawan, Romney meneruskan juga prinsip ekonomi yang beliau gariskan kerana percaya akan keberkesanannya pada masa depan ekonomi Amerika Syarikat. 

Mari kita lihat pula pada gelagat dan pemikiran rata-rata politikus yang kita ada di Malaysia. Penulis ingin gambarkan bahawa aktor-aktor politik di negara kita hari ini, setiap kali adanya lontaran idea dan kemudian wujud pula ketidaksefahaman, maka perdebatan kemudiannya akan berkisar tentang bagaimana buruknya cerita peribadi mereka yang berdebat. Masyarakat yang pada mulanya berminat untuk melihat idea-idea bernas yang mungkin boleh merubah masa depan negara, akhirnya kecewa kerana terlalu banyak cerita cercaan peribadi. Inilah realiti politik di Malaysia yang asyik tertumpu kepada peperangan antara individu, bukan perbincangan kepada perbezaan idealisme yang mungkin boleh mencapai kata sepakat untuk membantu membangunkan negara. Perlu diingat, masalah ini jelas menjadi kurap yang merebak baik di parti yang memerintah, mahupun parti yang membangkang. Kedua-duanya sama sahaja. Hari ini, politik tohmahan, dan politik kebencian itu menjadi rutin biasa ahli-ahli yang berhormat, baik di medan parlimen, ataupuan ketika kempen ceramah pilihanraya. 

Kedua, ahli-ahli politik di Malaysia, majoritinya terlalu jumud dengan pendirian dan ideologi pemimpin-pemimpin dan kawan-kawan mereka yang mereka anggap 'rakan seperjuangan'. Akhirnya, konsep 'yes bos' yang diwarisi sejak turun temurun masih kekal lagi di negara kita. Penulis tidak mengatakan bahawa mereka perlu untuk menjadi pemberontak di dalam parti yang mereka percaya asas perjuangannya. Mereka cuma perlu ada pendirian mereka sendiri tentang sesuatu perkara. Negarawan terbilang negara, Tun Dr Mahathir bukan seorang yang mengamalkan konsep 'yes bos' apabila beliau mengkritik hebat kepimpinan Tunku Abdul Rahman sehingga menyebabkan beliau dipecat dari UMNO. Walaupun dipecat, beliau masih percaya dengan perjuangan asas parti. Akhirnya beliau kembali dan menjadi antara Perdana Menteri dan tokoh yang paling disegani masyarakat dunia. 

Hari ini, mungkin ada juga ahli-ahli parlimen kita yang mengkritik kepimpinan parti, tapi tindakan yang diambil kemudiannya adalah dengan meninggalkan terus parti yang diwakili. Seolah-olah prinsip perjuangan asas parti yang mereka pegang terlalu goyah dan mereka dilihat kecewa dengan parti mereka. Yang menjadi mangsa, adalah rakyat yang terpingga-pingga di dalam dilemma samada untuk menyokong perjuangan parti ataupun individu yang mereka telah undi untuk menjadi suara mereka. Saya menghormati mekanisme perjuangan YB Khairy Jamaluddin dan YB Dato' Saifuddin Abdullah yang hari ini mungkin serba sedikit menyokong perkara-perkara yang bercanggah dengan pendirian parti, namun apa yang penting, mereka terus setia dengan parti yang mereka wakili. 

Maka inilah sebenarnya antara kurap-kurap permasalahan yang terus menghantui gerabak politik negara kita. Tidak kira di pihak pemerintah ataupun pembangkang. Pemimpin-pemimpin politik negara perlu sedar yang kami, golongan muda sebenarnya sudah muak dengan percaturan politik murahan yang dimainkan mereka. Penulis adalah salah seorang daripada generasi baru yang inginkan pembaharuan bukan sahaja dari segi mekanisme pembangunan negara, tapi juga corak amalan politik negara yang penulis anggap menjijikkan. Mengambil petikan artikel salah seorang sahabat, Rizal Abdul Rahman, seorang pelajar jurusan perubatan di salah sebuah universiti di Indonesia yang menyatakan nada yang sama melalui tulisan beliau,'Politik Kebencian: Hancur Masa Depan Negara'. Saudara Rizal menyebut, "Politik kebencian akan melalaikan perjuangan, melambatkan pertumbuhan, menjadi risiko kepada rusuhan seterusnya memusnahkan semua yang tercapai. Mungkin secara peribadi ia menguntungkan, hakikatnya secara keseluruhan ia mampu merosakkan Malaysia." 

Suara anak-anak muda seperti kami inilah yang perlu didengar oleh semua pihak. Bukannya anak-anak muda yang menyalurkan suara mereka melalui demonstrasi dan tunjuk perasaan di jalanan yang penulis kira hanya mewarisi amalan politik emosi yang sedia ada dan sebenarnya tidak membawa kita kemana-mana. Akhirnya, masa depan politik negara kita hanya akan bertukar rupa pemimpin, tapi corak permainannya masih sama. 

Debat Rafizi Ramli (Pengarah Strategik PKR, Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor) dan YB Khairy Jamaluddin – (Ahli Parlimen Rembau, Ketua Pemuda UMNO) baru-baru ini di United Kingdom merupakan satu contoh politik generasi muda yang ingin kami lihat. Harapan yang cukup tinggi penulis letakkan agar perdebatan dua 'singa' muda ini menjadi pelopor kepada 'politik baru' yang akan dimainkan oleh generasi muda dan seteruskan menjadi amalan yang perlu dikekalkan pada masa hadapan. Kami sebagai orang muda mempunyai semangat dan tenaga yang cukup tinggi. Itu kelebihan kami. Tapi alangkah molek sekiranya politik anak muda juga berlandaskan ilmu, bukan semangat semata-mata. Perlu diingat, politik adalah khidmat, bukan alat untuk kesenangan diri. Suka juga untuk penulis menyebut bahawa politik itu 'taklif'(tanggugjawab) dan bukannya 'tasrif' (glamour yang gemerlap). 

Unsur-unsur 'smart politics' inilah yang harus diberikan perhatian sebagaimana Mitt Romsey menunjukkan unsur-unsur keintelektualan dan mentaliti yang tinggi dalam mempamerkan diri beliau pada rakyat. Pendekatan beliau yang tidak dilihat terlalu jumud dalam sesuatu perkara memberikan beliau kelebihan sokongan padanya. Alhamdulillah, 'smart politics' ini jugalah yang ditunjukkan oleh debat Khairy-Rafizi dan InsyaAllah akan menjadi ikutan oleh keseluruhan anak muda yang benar-benar inginkan perubahan. 

Kita kaji dan selidik dari sumber apa sekalipun, kerajaan agung Melaka itu musnah bukan disebabkan oleh kemalasan atau kekurangan sumber dan kedaifan persekitaran. Tapi disebabkan sikap sombong, bongkak dan amalan perpecahan pembesar-pembesar Melaka ketika itu. Hari ini, perkara yang sama berulang kembali. Semoga amalan politik Malaysia akan berubah. 

Oleh: 
Nik Mohamed Hussein bin Nik Ali 
Speaker Parlimen Mahasiswa USM
Share this article :

Post a Comment

 
Company Info | Contact Us | Privacy policy | Term of use | Widget | Advertise with Us | Site map
Copyright © 2011. mahaSISWAutara . All Rights Reserved.
Design Template by panjz-online | Support by creating website | Powered by Blogger