News Update :

MPPUSM: Jawatan Dimenangi, Manifesto Dilupai

Penulis : KomCa News on Tuesday, 13 December 2011 | 22:22

Tuesday, 13 December 2011


“Kami kesal dengan sikap MPP sekarang. Dah dapat kuasa, mereka bagaikan lupa dengan janji-janji manis yang ditaburkan.” Itulah antara keluhan yang sampai ke telinga kami rentetan pendedahan ekslusif Berita Kampus (BK) edisi terbaharu baru-baru ini. Kali ini, kami setuju dengan laporan tersebut. Ada benarnya apa yang didedahkan oleh wartawan BK. 

Janji-janji manis, atau dalam istilah yang lebih kontemporari, manifesto, merupakan perkara biasa apabila menjelang sesuatu pilihan raya. Begitu juga dengan pilihan raya kampus di USM. Setiap calon yang bertanding akan menggula-gulakan pengundi dengan pelbagai manifesto yang kadang-kala sangat idealistik, menawan dan mempersonakan. 

Justeru tidak hairanlah jika seseorang calon dapat menang besar dalam sesuatu pilihan raya. Selain personaliti dan jaringan kawan-kawan, faktor ideologi dan manifesto juga sangat memberi kesan terhadap pola pengundian. Ke mana undi pergi, selalunya bergantung pada empat elemen ini. 

Manakala manifesto yang berjaya mengaburi pertimbangan pengundi pula akan membantu menarik sokongan daripada golongan neutral atau atas pagar. 

Manifesto sememangnya amat penting dalam kempen seseorang calon. Ada manifesto yang diperjuangkan bersama dan ada manifesto bersifat peribadi atau daripada calon itu sendiri. Bagi manifesto yang diperjuangkan bersama, ia biasanya melibatkan sekumpulan calon yang bergerak atas platform atau ideologi yang sealiran. Manifesto yang bersifat individual pula diperjuangkan oleh calon mengikut keperluan ‘kawasannya’ atau yang difikirkan penting untuk para pengundinya. 

Dalam lanskap politik di USM, manifesto yang bersifat universal dan diperjuangkan secara berkumpulan biasanya melibatkan dua entiti ideologi utama iaitu Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa. Walaupun dasar politik kita menolak sistem kepartian, tetapi tidak dapat disorok lagi bahawa pergerakan partisan dalam kalangan pemain politik kampus di sini memang terpecah kepada dua kumpulan ini, sama seperti di kebanyakan universiti lain. 

Kedua-dua kumpulan biasanya mempunyai manifesto umum masing-masing. Sebagai contoh, dalam beberapa siri pilihan raya kampus sebelum ini, kumpulan Pro-Mahasiswa berpegang kepada sekurang-kurangnya lima manifesto umum yang sama, antaranya memansuhkan AUKU dan memansuhkan sistem pengundian dalam talian. Manifesto ini juga senada dengan kumpulan-kumpulan Pro-Mahasiswa di universiti-universiti lain. 

Adakah manifesto berjaya melonjakkan sokongan terhadap seseorang calon? Secara mudah, ia sebenarnya bergantung pada bentuk kandungan manifesto yang ditawarkan itu sendiri. Tidak semua calon berupaya menawarkan manifesto yang menarik dan segar. Malah ada calon yang menggunakan manifesto kitar semula sehingga gagal menarik sokongan pengundi biasa.

Tetapi jika calon berjaya membawa sesuatu yang baharu dan mampu meyakinkan pengundi dengan manifestonya itu, ia umpama magnet berkuasa tinggi yang akan menarik sokongan para pengundi biasa. Siapa pengundi biasa yang kami maksudkan? Golongan ini ialah para pelajar yang tidak terlibat dengan sebarang gerakan politik dan sifar pengetahuan politik kampusnya, atau lebih tepat golongan neutral dan atas pagar. 

Walaupun golongan ini tidak aktif dengan politik kampus, tetapi jumlah mereka sebenarnya amat besar. Undi yang dimiliki oleh golongan ini amat signifikan. Malah, sebahagian besar calon amat bergantung pada golongan ini untuk memenangi konstituensi yang ditandingi. 

Oleh hal yang demikian, calon-calon tidak mempunyai pilihan lain selain menawarkan manifesto yang terbaik walaupun ia bersifat terlalu ideal dan di luar kemampuan calon itu sendiri. Jika ini berlaku, apa pula natijahnya? 

Mudah. Kesannya, seperti yang dapat kita ikuti dalam laporan Berita Kampus tempoh hari. Manifesto tinggal manifesto. Janji tinggal janji. Gula-gula hanya lekat di bibir saja, manis tetapi tidak mampu melepasi kerongkong nikmat. Inilah yang seharusnya menjadi kerisauan bagi setiap calon yang berjaya memenangi sesuatu kerusi yang ditandingi. 

Contoh paling popular mungkin kita dapat lihat melalui satu dua manifesto yang ditawarkan pada pilihan raya kampus yang lalu. Pertama, janji yang dibuat berkenaan perkhidmatan bas komuter. Calon berkenaan bukan sahaja menawarkan janji untuk membaiki mutu perkhidmatan bas, malah beliau turut mempertikaikan peranan MPP sebelumnya yang dikatakan tidak efisien dalam menangangi isu berkenaan.

Manifesto ini berjaya mencuri simpati para pengundi kerana ia berkait rapat dengan keperluan para pelajar. Tetapi calon terbabit terlalu ghairah hingga beliau lupa, prosuder yang diperlukan amat rumit dan melibatkan pelbagai disiplin lain. Akhirnya, bas baharu entah ke mana, caj perkhidmatan tetap sama! 

Satu lagi manifesto yang agak luar biasa ialah janji daripada seorang calon bahawa jika beliau menang, setiap pelajar USM akan menerima insentif APEX berjumlah RM1500! Wah, siapa yang tidak mahu? Tetapi mujurlah para pengundi USM realistik dan dapat mencerna janji beliau dengan baik. Akhirnya calon ini digagalkan oleh daya intelektual mahasiswa USM yang menolak janji-janji manis tersebut. 

Kesimpulannya, tak kiralah manifesto itu bersifat umum atau individual, setiap calon haruslah mengukur diri masing-masing terlebih dahulu. Calon perlu mengkaji sedalam-dalamnya sesuatu manifesto sebelum diterbitkan dan diuar-uarkan dalam kempen mereka agar ia tidak kelihatan seperti menipu para pelajar. Ini penting supaya kredibiliti MPP itu sendiri pada akhirnya tidak dipertikaikan sebaliknya terus diyakini keberkesanannya dalam memperjuangkan hak dan kebajikan para pelajar USM secara keseluruhan.
comments | | Read More...

Benarkah Universiti Apex Salah Guna Peruntukan

Penulis : KomCa News on Monday, 12 December 2011 | 08:01

Monday, 12 December 2011


Oleh : Norjimi Azmi Latif 

KUALA LUMPUR- Universiti Sains Malaysia (USM) menyalahgunakan peruntukan RM324,946 disalurkan untuk tujuan penyelidikan pada 2007, kata Ketua Audit Negara, Tan Sri Datuk Ambrin Buang. 

Menurutnya, peruntukan itu digunakan untuk projek pembangunan seperti pengubahsuaian pejabat, kerja pendawaian elektrik, penyaman udara dan membeli kelengkapan perabot untuk Pejabat Pelantar Penyelidik Sains Klinikal dan Bio Perubatan dan Kesihatan, Kampus Kesihatan Kubang Kerian, Kelantan. 

Beliau berkata, Jabatan Bendahari USM menyedari kesilapan setelah membelanjakan RM299,995 dan kini membuat pembetulan. 

Sementara itu, kata Ambrin, universiti yang sama turut melakukan kesilapan kedua apabila menyerahkan kuasa kewangan kepada pegawai penyelidik dalam membuat perbelanjaan bukannya pegawai pembelian. 

“Penyelidik mendapat kelulusan dari Timbalan Naib Canselor Bahagian Penyelidikan dan Inovasi dan diluluskan Dekan pusat pengajian itu. 

“Audit mendapati, pegawai penyelidik melakukan lima pesanan membeli peralatan RM28,285 bagi dua projeknya. Ia bercanggah dengan peraturan kewangan yang mengasingkan kuasa pegawai meluluskan dengan pegawai membeli barangan,” katanya. 

Menurutnya, USM telah memaklumkan perkara itu kepada pihak berkenaan dan berjanji ia tidak berlaku pada masa depan. 

Selain itu, Ambrin berkata, penyelidik itu juga tidak menyimpan peralatan berkenaan di tempat yang sepatutnya bagi mengelakkan kecurian dan kerosakan, sebaliknya menyerahkan kepada penuntut. 

“Misalnya, Nixon Streamflo Meter Digital Indicator berharga RM12,199 untuk penyelidikan di Pelantar Kejuruteraan dan Teknologi Kampus Kejuruteraan sepatutnya disimpan penyelidik bukan penuntut. 

“Alasan mereka, penuntut menyimpan peralatan sehingga kajian itu tamat sebelum diserahkan kepada penyelidik,” katanya. 

(Sinar Harian, 31 Oktober 2011, ms N10, Laporan Audit)
comments | | Read More...

Pro-Aspirasi USM Menyifatkan AUKU 1 Rahmat

Kami pelik, takjub. Kenapa agaknya kumpulan Pro-M begitu mahukan AUKU dimansuhkan? Mereka berulang kali menyatakan pandangan yang sama, mahu AUKU dimansuhkan terus. Kononnya, akta tersebut menyekat kebebasan hak asasi mahasiswa sebagai warganegara. 

Kami mencari, membelek setiap patah kata dan ayat dalam AUKU yang dikatakan menyekat itu. Daripada keseluruhan Seksyen yang termaktub, kami tak jumpa pun mana-mana bahagian yang dikatakan menyekat kebebasan hak asasi tersebut. Semuanya digubal mengikut lunas perundangan negara. 

Alasan mereka sebenarnya terlalu dangkal dan sempit. Sejak dahulu lagi mereka hanya berani menyentuh Seksyen 15 dalam AUKU kerana pada bahagian ini terdapat larangan yang jelas terhadap mahasiswa (baik Pro-M mahupun Pro-A) daripada menganggotai parti politik. Hanya itu sahaja yang dijadikan modal bising mereka. 

Bahkan kami tahu, selagi AUKU terus berdiri, selagi itulah mereka tidak akan senyap. Lalu kami ingin bertanya, adakah kebebasan hak asasi itu terdefinisi dengan lengkap apabila kita menjadi ahli parti politik di luar kampus? 

Bagi kami, AUKU sedikit pun tidak menghalang kebebasan hak asasi mahasiswa sebagai warganegara. Malah larangan itu sebenarnya satu rahmat buat kita. Kenapa kami berkata demikian? Mudah, kerana kami melihat sekian banyak contoh dan implikasi apabila mahasiswa begitu ghairah dengan ideologi politik kepartian. 

Sekarang pun, kalau kita perhatikan melalui Facebook, blog dan media-media bebas yang lain, tidak sedikit mahasiswa yang telibat secara tidak langsung dengan ideologi-ideologi parti politik di luar pagar kampus. Melalui komentar mereka berhubung isu-isu semasa, itu sudah cukup membayangkan betapa kebebasan itu sebenarnya sudah wujud. Ia dipraktikkan dengan terbuka oleh sesiapa yang berminat. Jarang kita dengan ada tindakan yang diambil kalau ia cuma pandangan dan komentar. 

Tetapi bagaimana kalau tiada Seksyen 15 dan larangan tersebut? Banyak yang boleh kita jangkakan. Misalnya, akan wujudlah kumpulan-kumpulan dan pergerakan mahasiswa yang mewakili parti-parti politik di dalam kampus. Kumpulan ini akan bercakap tentang A dan kumpulan yang lagi satu akan membangkang dengan hujah yang lain pula. Lama-kelamaan, apa kesudahannya? 

Kita juga tidak dapat menghalang lagi jika parti-parti politik ingin mewujudkan cawangan mahasiswa mereka di dalam kampus. Bayangkan, adanya Pemuda UMNO Cawangan Fajar Harapan, Bakti Permai dan Cahaya Gemilang. Pada masa yang sama, PKR, PAS dan DAP juga mempunyai cawangan masing-masing. Ia akan sama seperti di luar! Lalu, apa lagi yang boleh kita jangkakan? 

Ini implikasi-implikasi yang harus timbul sebenarnya. Maka, kita akan melihat keghairahan baru mahasiswa dan mahasiswi di dalam kampus. Lambakan koran, buletin, risalah-risalah politik, kain rentang, poster dan bermacam lagi ‘kemeriahan’ akan menghiasi kehidupan kampus. Inikah yang kita mahu? 

Kita juga tidak boleh lagi menghalang jika ada pemimpin-pemimpin parti ingin masuk dan berceramah di dalam kampus. Di padang kawad, mungkin setiap minggu akan ada ceramah politik. Minggu ini UMNO, minggu depan PAS, minggu berikutnya DAP dan PKR. Begitulah seterusnya. 

Kenapa kita tidak boleh menghalang? Kerana kita tidak ada lagi akta yang boleh disandarkan. Setiap perkara akan dihubungkan dengan kebebasan hak asasi mahasiswa. Kalau di luar kampus boleh, kenapa dalam USM tak boleh? Itulah yang akan digunakan sebagai hujah. Soalnya, adakah ini yang kita nak? 

Kami percaya, suara yang mahukannya tidaklah ramai berbanding yang menolak. Tetapi, yang tidak ramai inilah yang selalu buat onar di dalam kampus. Yang dua, tiga orang inilah yang tak pernah diam membuat tuntutan. Kerana yang dua, tiga orang inilah kampus jadi bising seperti di UPM dan UM dahulu. 

Sekali lagi kami ingin bertanya, susah sangatkah untuk mengikut apa yang telah termaktub? Susah sangatkan nak menghormati undang-undang? Kamu cuma mahasiswa. Tiga, empat tahun sahaja di dalam kampus. Kenapa ghairah dengan perkara yang bukan menjadi tanggungjawab kamu? 

Nak bersuara, nak bermasyarakat, peluangnya terbuka luas. Kita ada pelbagai persatuan. Kita ada Majlis-majlis Penghuni dan MPP. Kita ada sekretariat itu ini. Kita ada NGOs yang selalu berdamping dengan mahasiswa USM. Sertailah mereka, berbaktilah dengan masyarakat jika itu yang dimahukan. Kenapa yang tak boleh juga hendak dibuat? 

Berhentilah jadi mahasiswa yang dangkal dan sempit. Gunakan masa yang singkat ini untuk membina kualiti diri yang sebenar, bukannya menjadi pak turut dan anjing politik yang menyalak tak tentu punca. Kita mahasiswa! Kita harapan negara! Keluarlah dengan kualiti yang didambakan oleh masyarakat, bukannya keluar sebagai sampah masyarakat. Duit rakyat yang kita gunakan ini ada amanah yang perlu kita tanggung. Jangan disia-siakan setiap sen wang itu untuk kepentingan sempit pihak lain! 

comments | | Read More...

Pindaan AUKU Perlu Progresif

 Oleh: Dato' Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi

Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Dewan Rakyat, pada 24 November 2011, untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bagi membenarkan mahasiswa menjadi ahli parti politik adalah mercu tanda amat penting dalam transformasi politik negara, iaitu dari segi mengiktiraf suara dan peranan mahasiswa. 

Dari segi kerajaan, ia satu perubahan paradigma yang radikal, iaitu daripada sikap dingin terhadap partisipasi politik mahasiswa kepada pengiktirafan bahawa mahasiswa mempunyai hak partisipasi politik. Ia bukti bahawa kerajaan mendengar dan cuba sedaya upaya memenuhi permintaan mahasiswa. 

Ia juga memberi definisi terhadap partisipasi politik mahasiswa yang sebelum ini ditafsirkan pelbagai cara. Kini, definisinya adalah jelas, iaitu mahasiswa dibenarkan menjadi ahli parti politik. Sebagai ahli, mahasiswa mempunyai hak-hak yang ditentukan partinya. 

Dari segi mahasiswa, ia sebahagian daripada keberhasilan perjuangan yang panjang dalam menuntut partisipasi penuh dalam struktur dan proses membuat keputusan dalam pelbagai bidang dan di pelbagai peringkat. Ia hasil kerjasama dengan pelbagai pihak yang sealiran, seperti gerakan belia, wanita, akademia, profesional, masyarakat sivil dan parti politik. 

Pindaan ini perlu dibuat secara progresif dan komprehensif, dan bukannya secara regresif dan restriktif. 

Ia perlu selaras dengan hala tuju transformasi politik ke arah demokrasi yang matang. Ia perlu selari dengan perjuangan meningkatkan mutu universiti dengan erti kata yang sebenar, yang meliputi pengukuhan roh universiti, budaya ilmu, kebebasan akademik, melahirkan insan baik dan bukannya sekadar pekerja baik, serta idealisme perjuangan dan penghakupayaan mahasiswa. 

Matlamat pindaan Auku ini ialah, pertama, menegakkan hak mahasiswa berpolitik yang dijamin oleh Perlembagaan, dan kedua, meningkatkan partisipasi mahasiswa dalam membuat keputusan. 

Menurut Najib, mahasiswa terlibat ialah yang mencapai umur baligh undang-undang age of majority. Menurut Age of Majority Act 1971, umurnya ialah 18 tahun, iaitu seperti dijelaskannya dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Umno pada 1 Disember 2011. 

Beliau turut menyatakan, politik kepartian dilarang memasuki kampus. Ini akan dijelaskan agar tidak disalah tafsir. Perlu diwujudkan iklim yang lebih banyak membenarkan daripada melarang. Contohnya, perbincangan, diskusi dan forum politik yang melibatkan ahli panel pelbagai parti adalah dibenarkan. 

Supaya konsisten, maka, di samping Auku, beberapa akta yang berkaitan perlu dipinda bersama, iaitu, Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996, Akta Universiti Teknologi Mara 1976 dan Akta Institusi Pendidikan (Disiplin) 1976. 

Peluang meminda ini perlu juga digunakan untuk membincangkan peningkatan penghakupayaan mahasiswa. Contohnya, ialah membenarkan mahasiswa melaksanakan sendiri pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan mempermudah atau mengurangkan karenah birokrasi dalam meluluskan program-program anjuran mahasiswa. 

Kerja-kerja menyediakan pindaan ini akan dilakukan oleh sebuah panel dianggotai, antara lain, mereka yang terlibat dalam pindaan Auku pada tahun 2009, seperti Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi. Perundingan dan perbincangan yang luas serta terbuka akan diadakan dan digalakkan dengan/antara pelbagai pihak berkepentingan, seperti badan-badan mahasiswa, akademia, belia, profesional, masyarakat sivil dan parti politik. 

Contohnya, saya menganjurkan dan mempengerusikan Meja Bulat Pindaan Auku di Kuala Lumpur pada 17 Disember 2011. Dan pindaan ini dijangka disiapkan untuk dibentangkan di mesyuarat pertama Parlimen tahun 2012.
comments | | Read More...

Profesor Adnan Hussein TNC HEPPUSM Baru

Pulau Pinang, 12 Disember, Dekan Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Adnan Hussein hari ini dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar) USM selama tiga tahun bermula 1 Disember 2011 sehingga 30 November 2014. 

Jawatan Timbalan Naib Canselor (HEPP) USM kosong sejak 28 September lalu apabila Profesor Dato’ Omar Osman dilantik sebagai Naib Canselor USM. 

Adnan yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya ke-53 pada 15 Disember ini berasal dari Kota Bharu mendapat ijazah pertama dalam bidang Antropologi dan Sosiologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1986 sebelum melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana dengan memperolehi M.Sc. (Journalism & Mass Communication), Iowa State University (1989) dan ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) (Communication) dari University of Utah (1994). 

Ditanya tentang perasaannya setelah menerima watikah pelantikannya dari Dato’ Seri Mohd. Khaled Noordin, Menteri Pengajian Tinggi di Putrajaya hari ini, Adnan berkata, beliau menerima tanggungjawab dengan penuh kesedaran terhadap amanah besar yang dipikulnya. 

“Terdapat banyak cabaran yang ada sekarang ini dalam persekitaran universiti yang banyak berubah dan berbeza sekarang ini yang memerlukan kita melihat semula peranan universiti dan siswa-siswi seluruhnya bagi memastikan keberkesanan usaha yang dilakukan,” kata Adnan. 

Tambahnya lagi, universiti perlu melibatkan seramai mungkin siswa-siswi agar dapat mengoptimumkan hasil dalam usaha yang dilakukan oleh universiti selain daripada pembangunan akademik yang sememangnya telah sedia diambil perhatian utama selama ini. 

“Saya ingin berusaha untuk memastikan siswa-siswi kita dapat kemahiran insaniah (soft-skill) yang diperlukan untuk membolehkan mereka berjaya pada masa depan,” kata Adnan. 

Adnan pernah menjadi guru pada tahun 1980-1982 sebelum menjadi pensyarah di USM pada tahun 1994 dan dilantik sebagai profesor madya pada tahun 2002 sebelum kemudiannya dilantik sebagai profesor mulai Julai 2011. Adnan dilantik sebagai Dekan Pusat Pengajian Komunikasi pada Mac 2007. 

Adnan adalah seorang pemimpin mahasiswa yang aktif di zaman pengajiannya. Beliau adalah Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (UMUM) UKM, 1984-1985, Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (FSKK) UKM, 1983-1984, Presiden Persatuan Mahasiswa Komunikasi (PERKOM) UKM, 1983-1984, Pengerusi Kelab Bolasepak UKM, 1983-1984, Kapten Pasukan Bolasepak UKM, 1983-1984, Mewakili Pasukan Bolasepak UKM, 1982-1986, Pengerusi Kumpulan Grup Teater UKM, 1984-85, President, Malaysian Student Association, University of Utah, 1991-1992 dan Secretary, Islamic Student Organisation, University of Utah, 1990-1991.

comments | | Read More...

AUKU Perlu Dipertahan - Mantan YDP MPPUSM

"Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) perlu dipertahankan kerana terdapat segelintir pihak yang cuba memanipulasikan matlamat kewujudan AUKU terutamanya Seksyen 15(5)(a)" kata Ahmad Wafi Sahedan, mantan YDP MPPUSM di Berita Kampus USM.

Menurut beliau lagi, golongan tersebut sengaja cuba mendesak kerajaan memansuhkan dan meminda akta tersebut dengan menggunakan slogan kebebasan dan hak asasi manusia semata-mata. 


Budaya berpolitik dalam kampus boleh dibentuk melalui perbahasan dan diskusi supaya melatih mahasiswa berfikiran terbuka dalam menyuarakan pandangan berkenaan sesuatu isu dan bukannya dengan menyertai parti politik.

Matlamat asal datang ke universiti adalah untuk belajar dan bukannya aktif berpolitik. Penyertaan dalam politik kampus sudah cukup jelas  memperlihatkan bahawa mahasiswa USM perlu bijak membahagikan masa antara masa belajar dengan masa berpolitik.

Pindaan AUKU yang diumumkan oleh Perdana Menteri perlu dikaji semula oleh kerajaan kerana dikuatiri bahawa politik kepartian akan masuk kedalam kampus secara terang-terangan.

Hampir segelintir mahasiswa yang berminat dengan politik tetapi tindakan mereka akan menggangu persekitaran kampus sehingga boleh menyebabkan entiti neutral akan lenyap dalam institusi pengajian tinggi.

Tambahnya lagi, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed merupakan bekas penuntut universiti, ketika masih belajar beliau tidak pernah menyertai mana-mana parti politik tetapi mengikuti isu-isu semasa secara aktif dalam penulisan dan memberikan pandangan yang bernas.
comments | | Read More...

Konspirasi Oh Konspirasi (Realiti vs Kosmetik)

Penulis : KomCa News on Sunday, 11 December 2011 | 03:05

Sunday, 11 December 2011

Tulisan Oleh: Kumanan Kandasamy, YDP Kelab Sains Politik USM

 “Kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang” 

Begitulah isu pemilihan tenaga penggerak Pimpin Siswa sesi 2011/12 yang berlangsung dengan jayanya. Pendedahan yang dilakukan oleh pemberita Berita Kampus edisi ketiga, telah membuka mata ramai pelajar mengenai nasib yang menimpa pemohon-pemohon yang membuat permohonan untuk mengikuti program-program berprestij, khususnya sebagai tenaga penggerak. Malah saya rasakan hampir disetiap kawasan tumpuan siswa/i di USM, kedengaran komen mengenai tajuk utama Berita Kampus edisi yang lepas. Tahniah dan syabas kepada Berita Kampus. Pelbagai alasan dan kriteria `ad-hoc` yang diketengahkan oleh pengendali program, seringkali menimbulkan masalah di USM. Perkara ini telah dibuktikan melalui konspirasi yang wujud dalam pemilihan tenaga penggerak pimpin siswa tempoh hari. Penjelasan yang ringkas dan padat, telah membantu kami untuk memahami situasi sebenar yang melanda kampus USM. Terima kasih diucapkan kepada pihak yang menjawab persoalan daripada Berita Kampus. 

Namun, dalam penjelasan beliau (pegawai PPKSP), menyatakan ‘…pemilihan berdasarkan mereka yang boleh membantu universiti sealiran dengan universiti dan boleh membawa visi dan misi universiti.’ Kami yang tidak terpilih cukup terkilan dengan jawapan yang kurang bertanggungjawab daripada pihak yang berkenaan. Persoalannya sekarang, adakah mereka yang tidak terpilih, atau yang terkena tempias fahaman politik dalaman yang sempit, boleh ditakrifkan sebagai tidak sealiran dengan universiti? Adakah kami yang tidak terpilih, merupakan golongan yang tidak mampu membawa misi dan visi universiti? Jadi apakah peranan kami selaku pemimpin mahasiswa, yang telah menyertai aktiviti, memberikan sumbangan dan membawa nama universiti di persada antarabangsa? Adakah hanya sekadar menjadi `yes boss` dan memegang kain rentang sewaktu rapat umum, memadai untuk membawa visi dan misi universiti? Apakah kayu ukur yang digunakan dalam menilai kriteria yang agak pelik sebegini. Pendekatan melalui jawapan ini, cukup mendukacitakan dan pihak berwajib harus mengambil tindakan atas kenyataan berkenaan dengan kadar segera. Bukan ingin mempromosikan perkara yang telah kami lakukan, tetapi cuma sekadar menjelaskan bahawa kami tidak mampu sealiran, sekiranya aliran anda tidak menunjukkan jalan yang benar. 

Kami mengutarakan pelbagai bukti yang menunjukkan salah laku dalam pemilihan. Namun, jawapan yang diberikan kepada Berita Kampus, “mungkin berlaku kesilapan ketika pemilihan fasilitator dilakukan…”. Timbul persoalan, adakah kesilapan itu, disengajakan dan disedari oleh pegawai tapisan? Sekiranya tidak, cuba buktikan. Masakan pelajar yang `extend` pun boleh jadi fasilitator, inikan pula kami yang masih berstatus aktif. 

Malah, wujud satu ungkapan popular kebelakangan ini. Iaitu, ‘orang yang terlalu layak, tidak akan dipilih dalam program’, namun ia hanya sekadar ungkapan sahaja yang tidak mampu menyembunyikan salah laku yang berlaku. Sekiranya betul, sealiran dengan universiti, kenapa harus memberikan janji kosong kepada mahasiswa, khususnya yang masih baru, untuk `dare to be different`? Sekiranya berbeza, kemungkinan besar mereka akan dilabelkan sebagai tidak sealiran oleh pakar-pakar dalam bidang aliran ini. Jadi dimanakah titik keseimbangan? Terlalu banyak persoalan boleh ditimbulkan, sekiranya benda ini tidak mahu diselesaikan dengan menyatakan perkara yang sebenar. Memang 800 yang memohon dan 250 sahaja diperlukan. Siapakah 250 orang itu? Tepuk dada tanya selera. 

Semakin ingin menutupi suatu kesilapan, pelbagai perkara akan timbul sebagai susulan. Jangan salahkan kami sekiranya kami bertindak diluar kotak pemikiran anda, sebab `kotak` kami agak berbeza daripada anda. Sudahilah konspirasi ini dengan bijak. Jangan jadikan bangunan baharu tersebut dan penjenamaan terbaru PPKSP, masih dilitupi dengan kanvas yang usang. Pemikiran yang sempit, dan `pre-judgement` yang tidak berasas, tidak akan membawa nama univeristi kemana-mana. 

Harap Maklum.

Sumber: 
comments | | Read More...

Suaram Penang : Mesej Hari Hak Asasi Manusia 2011

Penulis : KomCa News on Saturday, 10 December 2011 | 10:29

Saturday, 10 December 2011

Hari ini seluruh dunia meraikan Hari Hak Asasi Manusia. Rakyat di Pulau Pinang turut meraikannya bersama. Namun, seluruh dunia menyedari bahawa, untuk sampai ke hari di mana hak asasi manusia dihormati, merupakan suatu perjalanan yang amat jauh. Ini juga benar bagi rakyat di Pulau Pinang.

Di Malaysia, pemusatan kuasa di tangan kerajaan Persekutuan merupakan suatu halangan yang besar untuk mencapai hak asasi manusia. Rakyat jelata mempunyai kuasa yang amat terhad dalam menentukan keputusan yang menjejaskan kehidupannya. Kebanyakan keputusan dibuat oleh kerajaan Persekutuan atau agensi kerajaan. Pada tahun yang lepas, terdapat pelbagai kes penyelewengan kuasa dan kontroversi, antaranya termasuk kapal selam Scorpene, projek ternakan lembu, kematian dalam tahanan, tahanan tanpa bicara, penafian hak mendapat maklumat dan media bias.

Kerajaan Barisan Nasional yang menafikan pilihan raya kerajaan tempatan terus menunjukkan bahawa mereka tidak memberi komitmen dalam menghormati dan menyokong hak asasi manusia. Tanpa pilihan raya kerajaan tempatan, kerajaan tempatan akan tetap tidak kebertanggungjawaban (accountable) dan tidak dapat didekati oleh rakyat Malaysia. Kami berharap pilihan raya kerajaan tempatan dapat diadakan semula, dan prinsip demokrasi yang penting ini mendapat pengiktirafan.

Penswastaan juga merupakan suatu halangan dalam mencapai hak asasi manusia. Dalam memberi keutamaan kepada keuntungan daripada rakyat, penswastaan telah membawa akibat yang melanggar hak asasi manusia. Penswastaan mementingkan golongan yang kaya, dan bukannya kumpulan minoriti. Ini mangakibatkan kebanyakan rakyat dinafikan hak perumahan, bergerak (kekurangan pengangkutan awam), alam sekitar yang bersih (keuntungan tidak menghormati alam sekitar), penjagaan kesihatan (kebanyakan orang memerlukan kemudahan kesihatan sektor awam, namun kebanyakan doktor pakar, jururawat dan staff sokongan yang berkelulusan lebih baik menceburi sektor swasta yang memberi perkhidmatan kepada golongan kaya dan pelancong asing yang datang ke negara kita untuk mendapat rawatan.)

Pelindungan kepada golongan pekerja, termasuk rakyat Malaysia dan pekerja asing telah dikurangkan, dengan pindaan kepada Akta Pekerjaan 1955, tahap penafian hak asasi golongan pekerja telah bertambah buruk. Pindaan ini harus dibatalkan.

Dalam melangkah ke tahun 2012, kami menyeru pelbagai pihak untuk:
  • mansuhkan segala undang-undang yang menafikan hak asasi manusia
  • menggubal undang-undang yang mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan
  • menghentikan segala dasar penswastaan dan memberi pengiktirafan kepada peranan sektor awam untuk pemberian hak asasi
  • mengagihkan kuasa dari pusat kepada kerajaan negeri dan kerajaan tempatan, untuk mewujudkan demokrasi secara penglibatan di Malaysia. Ini dapat membantu kita dalam menuju arah merealisasikan hak asasi kepada semua.
Di Pulau Pinang, kami berasa gembira dengan sokongan yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri. Contohnya, Speakers Square, Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat dan kajian tentang pilihan raya kerajaan tempatan. Kami akan terus melobi untuk mencapai peruntukan yang lebih baik untuk majoriti rakyat Pulau Pinang, terutamanya golongan yang kurang bernasib baik seperti orang kelainan upaya, pekerja asing, ibu tunggal, pelarian, dan warga emas. Ini termasuklah dasar perumahan yang lebih baik, pelindungan alam sekitar yang lebih baik, proses perancangan yang lebih inklusif, terbuka, bertanggungjawab dan bukannya yang ad-hoc. Ini dapat memastikan wujudnya pembangunan lestari dengan kepentingan rakyat Pulau Pinang diambil kira.

Pada Hari Hak Asasi Manusia ini, Jawatankuasa Bulan Demokrasi Tempatan Pulau Pinang 2011 menjemput semua pihak yang berminat untuk bersama-sama melobi untuk hak asasi manusia. Sertailah kami dalam perjuangan kami! Sila hubungi SUARAM (Cawangan Pulau Pinang) 04-6582285, suarampg@gmail.com atau 63B-01-07, Jalan Sungai Dua, 11700 Gelugor, Pulau Pinang.

Terima kasih dan Selamat Hari Hak Asasi Manusia
Oleh ahli-ahli Sekretariat Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) Cawangan Negeri Pulau Pinang.
comments | | Read More...

Baucer Buku Untuk Mahasiswa Sah Januari-Mac 2012

[BAJET 2012]
Kementerian Pengajian Tinggi semalam memaklumkan pelaksanaan pemberian baucar buku bernilai RM200 yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semasa Pembentangan Bajet 2012 lalu.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Khaled Nordin, pemberian baucer berkenaan hanya layak kepada pelajar IPTA, IPTS, Politeknik, Matrikulasi/Asasip Sains dan pelajar Tingkatan 6.

“Pemberian itu layak kepada semua pelajar warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pelajar aktif di IPTA, IPTS dan Politeknik mengikuti pengajian pada peringkat Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan Ph.D.

“Selain itu, pelajar matrikulasi/asasi dan pengajian persediaan termasuk pelajar di Tingkatan 6 secara sepenuh masa dan separuh masa di institusi pengajian tinggi dalam negeri pada Januari 2012 juga layak mendapat baucar buku bernilai RM200.”

MULA DIBERI JANUARI 2012

Menurut kenyataan beliau lagi, pengagihan baucar buku kepada pelajar-pelajar dibuat melalui IPTA, IPTS, Politeknik dan sekolah hanya akan diberikan mulai Januari 2012 melalui IPT dan sekolah masing-masing.

“Saya dah gesa semua IPT untuk sediakan senarai nama pelajar, berserta Nombor Kad Pengenalan dan Nombor Metrik / NomborPendaftaran mereka yang layak.

“Dan setiap pelajar perlu memastikan nama, no. kad pengenalan dan cop IPT masing-masing diisikan pada setiap keping baucar yang bernilai RM50.00 setiap keping.

“Baucar buku boleh ditebus di semua kedai buku yang menyertai program ini dan penyertaan kedai buku adalah terbuka kepada semua.

TIDAK BOLEH TUKAR TUNAI


Tambahnya, baucar tersebut adalah untuk pembelian buku–buku akademik, jurnal, majalah ilmiah dan peralatan pembelajaran berdasarkan keperluan IPT masing-masing.

“Tuntutan bayaran balik baucar akan dibuat oleh kedai buku terus kepada Bank Simpanan Nasional (BSN). Tetapi, tuntutan hanya boleh dilakukan sehingga 30 April 2012.

“Dan tempoh masa sah laku baucar buku ini adalah selama tiga bulan mulai daripada 1 Januari hingga 31 Mac 2012.

“Diingatkan, para pelajar tidak dibenarkan sama sekali menebus baucar buku ini dengan wang tunai.” – GZDaily
comments | | Read More...

Debat AUKU Antara 2 Aktivis Mahasiswa Berjaya Dijalankan

Penulis : KomCa News on Friday, 9 December 2011 | 09:26

Friday, 9 December 2011

Universiti Malaya, 9 Dis : Debat AUKU antara aktivis Pro-Mahasiswa dan Pro-Aspirasi sebentar tadi diberitakan berjalan lancar pada awalnya sebelum beberapa pengawal keselamatan UM dan ‘Special Branch’ di Bahagian Hal Ehwal Pelajar UM menyerbu masuk ke dewan tempat berlangsungnya debat.

Debat berkenaan yang dianjur bersama kumpulan BEBAS dan AKSI (Aksi Mahasiswa Peduli) terpaksa berpindah tempat setelah tempat asal di Fakulti Undang-undang UM tidak diluluskan saat akhir.

Sumber menyatakan tempat perdebatan itu terpaksa dianjur di satu ruang kecil berhampiran perpustakaan Fakulti Undang-undang UM yang hanya boleh menampung 50 orang satu masa.

Diberitakan hampir 300 mahasiswa/i daripada kampus UM dan sekitar Lembah Klang telah hadir memenuhi setiap ruang tempat sehingga melimpah ke luar dewan.

DIGANGGU KETIKA 'PANAS' BERDEBAT

Menurut maklumat yang diperoleh, perdebatan antara Ahmad Syukri Che Ab. Razab (mantan aktivis Pro-M) dan Syamsul Salleh (mantan YDP MPP UPM) telah diganggu ketika mereka sedang rancak menyampaikan hujah pada pusingan kedua perdebatan.

Beberapa pengawal keselamatan dan ‘Special Branch’ telah menjerit meminta penganjur keluar dewan dan perdebatan dihentikan segera.

Ketika itu juga, lampu dewan telah ditutup beberapa kali namun pihak penganjur tetap meneruskan perdebatan sehingga memaksa YDP MPMUM, Mohd Syahid keluar untuk berunding.

Setelah rundingan dilakukan beberapa minit, akhirnya pengawal keselamatan memberitahu arahan tersebut datang daripada Timbalan Naib Canselor HEP UM, Datuk Rohana Yusof.

Syahid kemudian diminta menghubungi Datuk Rohana untuk meminta izin meneruskan perdebatan.

Selang beberapa minit, Syahid kelihatan senyum gembira bererti persetujuan telah dicapai namun diminta dihabiskan sebelum jam 10.30 malam.

Akan tetapi, tidak berapa lama kemudian ketika sesi penggulungan, beberapa ‘Special Branch’ dan pengawal keselamatan secara tiba-tiba menyerbu masuk ke dalam dewan.

Mereka diberitakan terus ke arah peserta debat dan moderator (Shahimi Ariffin) lalu meminta perdebatan dihentikan segera. Ketika itu, mereka cuba merampas mikrofon yang sedang digunakan namun dihalang beberapa mahasiswa yang kecewa dengan provokasi berkenaan.

Sesi penggulungan tetap diteruskan dan kelihatan beberapa mahasiswa masih berbincang sehinggalah perdebatan berakhir kira-kira pukul 10.15 malam.

PRO-MAHASISWA MAHU MANSUH 'TOTAL'

Ahmad Syukri Razab

Sementara itu, sumber dari sebuah portal media lain menyatakan sesi perdebatan tersebut tetap mencapai matlamat yang diinginkan iaitu membahaskan tentang Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta autonomi kampus.

Ahmad Syukri dalam hujahnya membuat kesimpulan Pro-Mahasiswa tetap berpegang pada prinsip mahu memansuhkan AUKU secara ‘total’ (menyeluruh) dan autonomi kebebasan di universiti dikembalikan.

Beliau juga membuat satu tuntutan iaitu ingin melihat minggu haluansiswa di setiap IPT akan dikembalikan pengisiannya seperti MHS zaman sebelum terciptanya AUKU iaitu melibatkan politik mahasiswa dan kebebasan autonomi universiti.

PRO-ASPIRASI KAGUMI DR. MAHATHIR

Mohamad Syamsul Salleh

Manakala di pihak wakil aspirasi, Syamsul Salleh diberitakan kelihatan agak tenang dan matang dalam berhujah mengenai isu yang sedang diperbincangkan.

Menurut sumber, Syamsul sering kali menyatakan beliau kagum dengan kebijaksaaan Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr. Mahathir namun bertegas bersetuju dengan pindaan yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak.

Syamsul dikatakan tidak bersetuju dengan pemansuhan secara ‘total’ AUKU seperti disebutkan Syukri Razab kerana teramat bimbang tentang keadaan politik yang dianggapnya ‘kotor’ ketika ini menular kepada mahasiswa.

“Pembangkang dengan politik fitnahnya, kerajaan dengan politik rasuah, dua-dua salah. Jadi, saya risau andai AUKU dimansuhkan secara menyeluruh, situasi berkenaan (kotor) akan menular kepada mahasiswa.”, demikian antara hujahnya.

Sumber:
comments | | Read More...

Debat Aktivis Mahasiswa : Pro-Aspirasi vs Pro-Mahasiswa

Tindakan selepas ramai YDP MPP IPTA tolak pelawaan debat AUKU:

Setelah pelawaan debat yang diwakili oleh YDP MPP IPTA ditolak oleh ramai YDP MPP IPTA, program debat tersebut tetap akan diteruskan pada hari Jumaat 9 Disember, pukul 8.30 malam bertempat di Auditorium Tun Mohamed Suffian, fakulti Undang-undang, UM.

Debat berkenaan akan membincangkan mengenai AUKU dan Autonomi Mahasiswa.

 
Dan menurut sumber, ahli panel yang akan hadir ialah wakil aktivis mahasiswa daripada Aspirasi, Mohd Syamsul Salleh dan juga Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Ahmad Syukri Abd Razab. Manakala Shahimi Ariffin, Ketua Umum AKSI akan bertindak sebagai moderator debat berkenaan.
comments | | Read More...

YDP MPPUSM Tolak Pelawaan Debat AUKU

Penulis : KomCa News on Thursday, 8 December 2011 | 23:53

Thursday, 8 December 2011

Sebuah kumpulan aktivis mahasiswa, Aksi Mahasiswa Peduli (AKSI) bakal menganjurkan program debat antara mahasiswa yang diwakili oleh Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) antara universiti.

Menurut Setiausaha Akhbar AKSI, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham berkata, debat itu diadakan bertujuan membidas tindakan pihak kerajaan dalam menangani isu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

“Pendirian kami adalah berkenaan kebebasan akademik amnya dan AUKU khususnya, harus dipandang serius oleh kerajaan.”

“Ini kerana pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini yang sekadar meminda AUKU adalah tindakan kurang bijak dan ia dilihat sekadar bermain tarik tali dengan tuntutan mahasiswa,” katanya dalam kenyataan semalam.

RAMAI TOLAK PELAWAAN SERTAI DEBAT

Ekhsan berkata, jemputan wakil kepada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah dilakukan, namun hampir semua wakil menolak pelawaan bagi membincangkan isu tersebut.


 “Kami menjemput panel-panel dari wakil IPTA seperti Yang Di-Pertua (YDP) MPM Universiti Malaysia (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

“Malangnya mereka semua tolak pelawaan kami kecuali YDP MPM UM, Mohd Syahid sahaja yang menerima jemputan,” katanya.

comments | | Read More...

Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)

Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik yang dikenali sebagai BEBAS telah dilancarkan pada 22 Nov 2011 yang terdiri daripada gerakan mahasiswa dalam usaha memperjuangkan hak dan kebebasan mahasiswa serta ahli akademik. BEBAS mendapat sokongan padu daripada gerakan mahasiswa termasuk:
  1. Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
  2. Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM)
  3. Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) 
  4. Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA)
  5. Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI)
  6. Gerakan Demokratik Belia & Pelajar Malaysia (DEMA)
  7. Pro-Mahasiswa Nasional (PRO-MN)
  8. Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)
  9. Legasi Mahasiswa Progresif (LMP)
  10. Kesatuan Aksi Mahasiswa (AKSI)
GERAKAN MENUNTUT KEBEBASAN AKADEMIK (BEBAS)

Jawatankuasa Gerakan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) bersetuju untuk meletakkan dua prinsip utama yang menjadi asas kepada gerakan kebebasan akademik, iaitu :
  • Bahawa ahli akademik, sama ada di dalam atau di luar bilik kuliah, memiliki kuasa yang tidak terbatas untuk mempersoal, menguji idea dan mengeluarkan kenyataan kontroversi dan tidak popular tanpa mengira sama ada pendapat tersebut bercanggah atau tidak dengan pendapat umum.
  • Institusi akademik tidak berhak untuk mengekang kebebasan akademik dalam kalangan kakitangan universiti atau menggunakan praktis kebebasan akademik sebagai sebab untuk mengenakan tindakan tatatertib
Jawatankuasa BEBAS juga menyenaraikan 6 tuntutan utama gerakan, iaitu :
  1. Mansuhkan AUKU & AKTA 174BEBAS berpendirian bahawa AUKU dan AKTA 174 perlu dimansuhkan berdasarkan dua teras berikut :
    • Peruntukan-peruntukan dalam Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (pindaan 2009) dan Akta 174 membunuh aktivisme mahasiswa Malaysia.
    • Peruntukan-peruntukan dalam Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (pindaan 2009) dan Akta 174 yang mencabuli hak-hak asasi manusia khususnya mahasiswa
  1. Bebaskan Ilmuan Berakademik BEBAS menuntut hak kebebasan berakademik bagi para ilmuan dalam perkara-perkara berikut :
    • Para ilmuan mempunyai kebebasan untuk mengajar dan membuat kajian dalam persekitaran akademik tidak kira sama ada kajian tersebut bersifat kontroversi atau tidak popular serta bercanggah dengan pendapat umum khususnya mana-mana kuasa politik di dalam negara.
    • Para ilmuan mempunyai kebebasan menyatakan pendapat, mengeluarkan pandangan, menyatakan kritikan terhadap apa jua isu berasaskan pandangan intelektual hasil daripada kajian, observasi dan penilaian mereka sama ada di dalam atau di luar universiti.
    • Para ilmuan bebas berkhidmat tanpa terikat dengan mana-mana perjanjian yang bertentangan dengan hak kebebasan berakademik yang dijamin perlembagaan.
  1. Bebaskan Mahasiswa BersuaraBEBAS menuntut mahasiswa diberi kebebasan bersuara dalam kerangka berikut :
    • Mahasiswa mempunyai kebebasan untuk belajar dan membuat kajian dalam persekitaran akademik tidak kira sama ada kajian tersebut bersifat kontroversi atau tidak popular serta bercanggah dengan pendapat umum khususnya mana-mana kuasa politik di dalam negara.
    • Mahasiswa mempunyai kebebasan menyatakan pendapat, mengeluarkan pandangan, menyatakan kritikan terhadap apa jua isu berasaskan pandangan intelektual hasil daripada kajian, observasi dan penilaian mereka sama ada di dalam atau di luar universiti.
    • Mahasiswa bebas menjalankan apa jua aktiviti seperti demonstrasi, himpunan aman, rapat umum, seminar, diskusi dan lain-lain aktiviti di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan idealisme perjuangan mereka.
  1. Bebaskan Mahasiswa Mengurus Pilihanraya KampusBEBAS menuntut supaya :
    • Mahasiswa diberi autonomi atau kuasa untuk menjalankan pilihanraya kampus sendiri bagi memilih perwakilan pelajar yang bakal memimpin persatuan atau badan induk kepimpinan pelajar.
    • Proses pemilihan pelajar ini dijalankan tanpa sebarang campurtangan daripada mana-mana pihak sama ada dari sudut sistem, teknikaliti, kempen, pembuangan undi, pencalonan dan lain-lain elemen dalam proses pemilihan yang hanya melibatkan mahasiswa.
  1. Bebaskan Mahasiswa Mengurus Tadbir Persatuan & AktivitiBEBAS menuntut supaya :
    • Mahasiswa diberi autonomi atau kuasa untuk mengurus tadbir persatuan dan aktiviti persatuan atas kapasiti mahasiswa sendiri.
    • Urus tadbir ini dijalankan oleh mahasiswa tanpa sebarang campurtangan mana-mana pihak termasuk pihak pentadbiran universiti.
    • Hal ini merangkumi segala bentuk pentadbiran persatuan dan aktiviti, kewangan dan perbelanjaan, dana dan tajaan, pengisian dan aktiviti, penerbitan dan publisiti serta apa jua elemen-elemen lain di dalam urus tadbir persatuan.
  1. Bebaskan Mahasiswa Berpartisipasi Dalam PolitikBEBAS menuntut mahasiswa diberikan kebebasan berpartisipasi dalam politik sebagaimana berikut :
    • Melibatkan diri atau menjalankan seminar dan diskusi yang membincangkan soal-soal politik, ekonomi dan sosial di mana mahasiswa berbincang dengan tokoh-tokoh politik dan pensyarah.
    • Mahasiswa bebas mengemukakan resolusi, cadangan atau kritikan bercorak politik dibentang dan dikeluarkan untuk tatapan umum dan kerajaan.
    • Mahasiswa bebas menjalankan penerbitan akhbar, majalah dan risalah atau kenyataan akhbar di mana mahasiswa menyuarakan cita-cita politik mereka.
    • Mahasiswa bebas menjalankan dan menyertai apa jua aktiviti di dalam dan luar universiti di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan idealisme perjuangan mereka.
Muhammad Safwan b. Anang @ Talib
Pengerusi Gerakan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)
comments | | Read More...

Keldai Dadah Antarabangsa : Kenapa Wanita Malaysia?

Info: Kes Mangsa Keldai Dadah Antarabangsa.

16 Mac 2010
Dua wanita, G.Rasundri, 50 Tahun dan Darina Ibrahim, 43 Tahun yang bekerja sebagai tukang jahit di Kuala Lumpur ditahan di penjara Itali kerana membawa dadah jenis candu ke negara itu.

29 April 2010
Pelajar berketurunan Iban, Cristina anak Luke Miju, 22 Tahun ditangkap disebuah lapangan terbang di China selepas pihak berkuasa negara itu menemui sejumlah dadah di dalam beg tangannya.

16 Ogos 2010
Nur Dhiya Ain, 19 Tahun yang mengikut kenalannya seorang warga Afrika kerana mendapat tawaran pekerjaan ditahan polis Afrika Selatan di Lapangan Terbang Cape Town kerana membawa 1.2 kg dadah jenis syabu.

1 September 2010
7 gadis Malaysia nyaris ditahan pihak berkuasa si Karachi, Pakistan kerana disyaki menyeludup dadah ke negara itu selepas terpedaya dengan janji manis warga Afrika di Kuala Lumpur.

Kes penyeludupan dadah melibatkan wanita telah menjadi satu masalah rentas sempadan yang mendapat perhatian antarabangsa. Hal ini kerana, sebahagian besar mangsa mudah terpedaya dengan janji dan tawaran wang yang lumayan dengan bekerja di luar negara oleh agen yang tidak dikenali tanpa mengetahui mereka telah menjadi ‘keldai dadah’.

Sifat mudah percaya dan kelabu mata dengan kemewahan dan cinta yang ditawarkan oleh lelaki asing menjadikan wanita pendek akal dan mengambil keputusan terburu-buru hingga memakan diri sendiri. Selain itu, kehidupan yang mendesak seperti ketiadaan pekerjaan menjadikan mereka memilih pekerjaan ini sebagai langkah keluar dari masalah hidup.

Menurul laporan, pada awal Oktober lalu, dua wanita Malaysia ditahan atas kesalahan membawa dadah di Hulu Bernam, Selangor manakala dua lagi wanita ditahan di Pulau Pinang juga atas kesalahan yang sama.

Berdasarkan statistik yang dibentangkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim telah menunjukkan penahanan terhadap pendatang dari benua Afrika meningkat kepada 173 orang berbanding hanya 65 orang pada tahun lepas. Daripada jumlah itu, 139 adalah rakyat Nigeria dan ini menunjukkan peningkatan berbanding hanya 50 orang rakyat Nigeria yang ditahan pada tahun lepas kerana kesalahan dadah.

Beg Pakaian Yang Diubahsuai Untuk Menyimpan Dadah

Wanita-wanita yang terdesak terutamanya golongan belia merupakan mangsa yang dicari-cari oleh sindiket dadah dengan tawaran pekerjaan dan gaji yang lumayan. Oleh itu, golongan wanita terutamanya mahasiswi seharusnya berhati-hati dan curiga apabila bertemu dengan individu atau agen yang tidak dikenali yang menawarkan pekerjaan yang lumayan sebelum menyelidiki perkara tersebut dengan teliti. Tambahan pula teknologi komunikasi sekarang seperti Facebook merupakan medium perhubungan yang paling berisiko yang digunakan oleh sindiket dadah untuk memperdaya golongan wanita. Ibarat kata pepatah, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada guna.

Oleh:
Nor Aifa Binti Jamaluddin
Ahli Majlis Perwakilan Pelajar USM 
Pro-Mahasiswa USM
comments | | Read More...

Pinda AUKU : Kementerian Bakal Adakan Mesyuarat Meja Bulat

Kementerian Pengajian Tinggi akan menganjurkan mesyuarat meja bulat mengenai pindaan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974, pada 17 Disember ini di Hotel Sunway Putra Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata mesyuarat meja bulat itu akan menjadi platform kepada para peserta untuk memberi pandangan, cadangan dan maklumbalas mengenai isu akta tersebut.

“Hasil maklumbalas dan cadangan dari wakil persatuan pelajar dan pihak-pihak lain dalam mesyuarat itu akan diambil perhatian dan dikemukakan kepada anggota jawatankuasa yang akan meminda AUKU,” katanya dalam satu kenyataan.

Saifuddin berkata beliau akan mempengerusikan sesi mesyuarat meja bulat tersebut.

MENTERI AKAN UMUM PENGERUSI, AJK PINDAAN AUKU


Ditanya siapakah akan menjadi pengerusi dan para anggota jawatankuasa yang akan meminda AUKU yang akan ditubuhkan kelak, Saifuddin berkata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan mengumumkan perkara tersebut pada masa terdekat.

“Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminda Seksyen 15 Akta AUKU 1974 bagi membolehkan pelajar yang mencapai umur 21 tahun menyertai parti politik pada 24 November lepas di Dewan Rakyat, telah disambut baik oleh pelbagai pihak.

“Sekarang adalah waktu terbaik untuk membincangkan mengenai akta berkenaan, kerana pindaan terhadap akta tersebut hanya akan siap pada sesi mesyuarat pertama Dewan Rakyat pada bulan Mac tahun depan (2012),” kata Saifuddin.

AKTA IPTS, KUALITI UNIVERSITI TURUT DIPERBINCANGKAN

Selain itu, mesyuarat itu juga akan turut membincangkan mengenai bagaimana untuk menambahbaik kualiti universiti, Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta, Akta Institusi dan beberapa perkara lain membabitkan institusi pengajian tinggi, katanya.

Mengenai kelayakan umur yang sesuai untuk menyertai parti politik, Saifuddin yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berpendapat 18 tahun adalah umur yang sesuai dengan mengambil contoh Umno yang membenarkan mereka yang berumur 18 tahun untuk menjadi anggota parti tersebut.

Mesyuarat meja bulat itu akan dihadiri wakil-wakil pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, Majlis Profesor Negara, badan-badan bukan kerajaan (NGO), wakil dari parti politik dan Majlis Peguam.

Maklumat lanjut mengenai mesyuarat meja bulat itu boleh diperolehi dengan menghubungi Mohd Nazri Noh di talian 019-2660672 atau Fadzmel Fadzil (013-3402203).
comments | | Read More...

Kajian USM : Remaja Mula Ketagih Rokok

Kajian Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Kubang Kerian mendapati pada masa kini, budaya merokok mula melanda golongan remaja, selain golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Zulkifli Ahmad berkata, senario berkenaan berlaku berikutan bekalan rokok mudah didapati di pasaran biarpun banyak pengawalan terhadap penjualan rokok dilakukan.

“Kita dapat lihat merokok mula menjadi ‘trend’ kepada golongan remaja, khususnya pelajar peringkat menengah kerana pada usia terbabit mereka terdedah kepada pelbagai anasir tidak baik, malah kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa.

“Selain membahayakan kesihatan dalam jangka masa panjang kepada remaja, budaya merokok ini juga turut mengganggu sosio kehidupan mereka kerana menjejaskan minda, sekali gus mengakibatkan pelajar tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran,” katanya.

KEMPEN TIDAK BERKESAN

Beliau berkata, meskipun pelbagai cara dan kempen dilancarkan bagi menyedarkan bahaya merokok, namun bilangan perokok di negara ini tidak dapat dikurangkan.

Menurutnya, tabiat merokok memberi kesan buruk kepada kesihatan kerana pelbagai kesan sampingan termasuk masalah ekonomi keluarga, sosial mengganggu perancangan masa depan.

Kajiannya juga sebelum ini mendapati sebanyak kira-kira RM15 juta sehari dibelanjakan oleh lima juta perokok tegar yang dikenal pasti di Malaysia.

“Peruntukan RM15 juta sehari ini adalah besar dan ia menunjukkan tabiat merokok sukar dibuang meskipun pelbagai kempen dilaksanakan.

“Daripada jumlah peruntukan yang dikeluarkan perokok tegar ini, kira-kira 10,000 kematian setahun dikenal pasti berpunca daripada rokok,” katanya.
comments | | Read More...

Categories

 
Company Info | Contact Us | Privacy policy | Term of use | Widget | Advertise with Us | Site map
Copyright © 2011. mahaSISWAutara . All Rights Reserved.
Design Template by panjz-online | Support by creating website | Powered by Blogger